SABAH KAYA TETAPI RAKYAT MISKIN: MANA HILANGNYA KEKAYAAN NEGERI KITA?

  1. Saya sering tertanya-tanya, dan saya yakin ramai rakyat Sabah turut bertanya soalan yang sama. Negeri kita ini kaya-raya. Tuhan kurniakan kita hasil bumi yang melimpah ruah. Minyak, gas, balak, kelapa sawit, semuanya ada. Laut kita kaya dengan hasil, tanah kita subur untuk pertanian. Tetapi mengapa, setelah berpuluh tahun, rakyat kita masih ramai yang hidup dalam kemiskinan?

Statistik tidak menipu. Sabah dicatatkan sebagai negeri termiskin di Malaysia dengan kadar kemiskinan 17.7 peratus. Lapan daripada sepuluh daerah termiskin di seluruh negara berada di Sabah. Ini bukan satu kebetulan. Ini adalah satu kegagalan sistemik yang berpunca daripada barah yang telah lama memakan negeri kita.

Barah itu namanya rasuah dan salah guna kuasa. Inilah penyakit yang menyebabkan kekayaan Sabah tidak sampai kepada rakyat. Hasil negeri yang sepatutnya digunakan untuk membina jalan raya yang sempurna, menyediakan bekalan air bersih untuk semua, dan membina sekolah yang selesa untuk anak-anak kita, sebaliknya masuk ke dalam kantung-kantung peribadi pemimpin yang tidak amanah dan kroni-kroni mereka.

Kita lihat sendiri projek-projek pembangunan yang terbengkalai. Kita dengar keluhan rakyat di kampung-kampung yang masih tiada jalan raya yang elok. Kita rasa sendiri peritnya apabila bekalan air terputus berhari-hari. Hanya 80.5 peratus penduduk Sabah mempunyai akses kepada air bersih, lebih rendah berbanding kawasan lain di Malaysia. Adakah ini nasib yang layak kita terima di sebuah negeri yang kaya?

Saya tegaskan: Sabah bukan negeri miskin. Sabah sengaja dimiskinkan oleh pemimpin-pemimpin yang korup. Mereka lebih mementingkan tembolok sendiri daripada perut rakyat. Mereka lebih rela melihat rakyat menderita asalkan projek dan kekayaan peribadi mereka terus bertambah. Rasuah Sabah telah menjadi punca utama kemunduran negeri kita.

Perjuangan Perikatan Nasional adalah untuk menentang kezaliman ini. Kami tidak akan berkompromi dengan rasuah. Kami mahu pastikan setiap sen hasil negeri Sabah dikembalikan kepada rakyat Sabah. Wang itu adalah hak kamu semua, bukan hak mana-mana pemimpin atau parti politik.

Ada yang kata, politik adalah tentang pembangunan. Saya setuju. Tetapi pembangunan apa yang boleh kita harapkan jika pemimpinnya sendiri sibuk merompak wang pembangunan? Pembangunan yang sebenar hanya akan datang dengan kepimpinan yang bersih, telus dan berintegriti.

Pilihan di tangan kita, rakyat Sabah. Adakah kita mahu terus berdiam diri dan membiarkan negeri kita terus dirompak? Adakah kita mahu mewariskan kemiskinan dan kemunduran ini kepada anak cucu kita?

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Sabah. Bangkitlah. Tolak pemimpin rasuah. Tolak parti yang melindungi perasuah. Jangan lagi terpedaya dengan gula-gula pilihan raya yang hanya manis di bibir tetapi pahitnya kita tanggung bertahun-tahun. Dalam Islam, rasuah adalah dosa besar yang dilaknat Allah SWT. Baik pemberi mahupun penerima akan menerima balasan neraka.

Masa depan Sabah ada di tangan kita. Pilihlah pemimpin yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk diri sendiri. Pilihlah pemimpin yang berintegriti dan beramanah. Bersama-sama, kita kembalikan maruah dan kekayaan Sabah kepada rakyatnya. Kita bina semula negeri ini menjadi negeri yang maju, makmur dan sejahtera untuk semua.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *